Friday, September 3, 2010

SEMALAM.....

Jumaat : 3 September 2010

        Sirna rembulan malam, terpancar bilahan-bilahan cahaya Sang Suria di balik gumpalan awan tebal yang menutupi langit Kuala Perlis. Gelap. Suasana sepi tanpa sebarang kata dari insan-insan yang masih berada di sini. Dingin angin subuh berserta deruman guruh seakan-akan memberi petanda, hari akan hujan.

8.45 pagi
        Fal demi fail yang kelihatan pada skrin komputer ribaku diklik. Mencari. akhirnya aku berhenti apabila hanya ikon "Winamp" sahaja yang keluar. Banyak. aku perhatikan satu persatu. Mencari. Sesekali aku klik pada fail-fail yang ada di hadapanku kini. Aku pilih dengan teliti.

       Akhirnya, bait-bait irama yang kurasakan enak untuk kudengar bermain-main di udara. Bosan.....

       Saaat ini, beberapa sahabatku telah menghadirkan diri mereka di kelas sementara ramai yang lain telah pun pulang ke kampung halaman, bertemu ibu dan ayah yang telah lama mereka tinggalkan. Aku keseorangan di bilik kecil yang hanya mampu memuatkan dua orang. Internet perlahan. Sukar untuk aku melayari dunia digital itu. Terdetik di hatiku untuk mengarang, tetapi apakah tajuk seterusnya?
(O.o")?.......  Mindaku sepi tanpa idea....   (=.=")

        Aku masih di hadapan skrin. Jari-jemariku pantas mengklik pada setiap ikon yang ada pada skrin. Mencari. Mungkin masih ada sesuatu yang dapat aku lakukan sementara menunggu kedatangan ayahku untuk membawaku pulang dalam tiga jam lagi. Halwa telinga masih menghiburkan aku.

        Sedang aku klik, aku melihat satu ikon, "Google Chrome". Pantas aku klik pada ikon tersebut. Ya! Aku akan menulis, aku akan menulis dalam blog aku ini. Maka dengan pantas aku membuka laman blogku dan mula menulis posting yang baru, dan inilah ia.

       Semalam sudah berlalu. Hari ini telah menggantikan hari semalam dan hari-hari yang sebelumnya. Masa terus berjalan tanpa henti walau sejenak. Hari ini hari terakhirku di Kuala Perlis pada Bulan Keberkatan ini, Ramadhan. Bulan yang mempunyai ribuan rahmat dari Ilahi untuk hamba-hambaNYA yang taat dan ikhlas.

       Semalam sudah berlalu. Begitulah juga hari-hari sebelumnya. Sedang pantas jari-jariku menaip papan kekunci, aku terkenangkan satu perkara. Ketika ini, timbul kembali persoalan yang telah tertimbul sebelum ini.... "Mungkinkah aku patut melibatkan diri dalam bidang psikologi?". Namun, bukan ini yang ingin kukongsikan.

        Semalam sudah berlalu dan sama sahaja seperti hari-hari sebelum itu. Semalam, aku melawat bazar ramadhan yang disediakan di Kuala Perlis, negeri yang kecil ini. Ramai. Sesak. Lelaki dan perempuan berasak-asak di tengah laluan yang kecil untuk membeli juadah berbuka. Setiap orang cuba untuk menyelit-nyelit bagi memboloskan diri mereka di tengah-tengah ramai. Suara-suara peniaga lantang kedengaran, cuba menarik pelanggan. Kedua mataku menjeling-jeling sekeliling.

           Aku melihat dan aku memerhati.
       Berasak-asak di tengah laluan yang sempit, lelaki dan perempuan. Masing-masing seolah-olah tidak peduli perkara yang sedang mereka lakukan. Berada di tengah-tengah laluan yang sempit, lelaki dan perempuan sudah pastinya bakal menyebabkan persentuhan yang tidak disengajakan. Namun, mereka tidak menghiraukan semua itu dan terus mencari juadah yang mereka inginkan.

            Aku terus melihat dan terus memerhati.
        Beraneka juadah yang dihidangkan kepada mataku, dan begitulah juga beraneka ragam yang dipertontonkan kepada aku sebagaimana halnya juga beraneka pakaian dipersembahkan buat tatapan mata liarku. Sudah pastinya semua ini tidak pernah membuatkanku jemu dari terus berfikir. Aku semakin tertarik untuk terus berfikir.

           Aku melihat, orang tua, para pemuda dan pemudi, remaja, kanak-kanak dan bayi-bayi kecil. Aku melihat setiap satu jasad yang terlintas pada pandangan mata liarku dan aku terfikir. Hadirnya orang-orang yang sudah berumah tangga, adalah untuk mencari juadah berbuka buat keluarga. Bagi suami, dibelikannya untuk isteri dan anak-anaknya. Bagi isteri, dicarinya juadah buat anak-anak dan suami tersayang.

             Aku melihat setiap yang melintas. Bagaimanakah pula halnya dengan muda-mudi yang masih belum mendirikan rumah tangga. Aku terus memerhati. Sesekali terlintas di hadapanku pasangan-pasangan. Aku tidak mengetahui, apakah mereka sudah berkahwin? Sesekali, persoalanku terjawab apabila aku melihat beberapa orang yang aku kenali, berjalan beriringan bersama pasangan mereka.. Masih belum berkahwin. Maka tertimbul persoalan.

              Apakah sebenarnya tujuan mereka berpasangan tanppa akad yang sah? Adakah hanya sekadar untuk keluar bersama dan berpisah apabila tiba masa untuk pulang? Apakah, tujuan mereka hanya untuk keluar makna bersama dan kemudian berpisah untuk pulang? Apakah tujuan mereka hanya untuk berjalan-jalan, bersembang, kemudian berpisah lagi?

(+___+ " )................ tiada jawapan...

           Jika hanya untuk itu, ternyata hidup mereka itu amat membosankan. kebahagian yang mereka nikmati ketika bersama itu hanyalah sementara, tidak kekal walau untuk sehari pun. Maka, apakah nikmatnya, berpasangan dengan cara begitu? Tiada.

                Aku terus melihat dan memerhati.
             Melintas di pandangan mata liarku, remaja-remaja perempuan kebanyakannya. Masih muda dan lebih muda dariku yang sudah hampir 20 tahun ini. Aku melihat kepada penampilan mereka. Bajunya, mukanya, kepalanya dan kakinya. Bukan tujuanku untuk melayan nafsu, namun aku hanya terfikir.

              Singkatnya baju mereka, lebih singkat dari bajuku yang labuh melebih punggung. Ketatnya baju nmereka, lebih ketat dari baju laki-laki, sehingga menampakkan bentuk tubuh mereka. Dipertontonkan rambut mereka sebagaimana lelaki. Pendeknya seluar mereka yang perempuan, sedangkan lelaki berseluar pangjang. Tidakkah mereka malu, mempertontokan perhiasan mereka yang telah ALLAH suruh mereka menutupinya? Sedangkan aku sendiri yang lelaki ini, malu untuk keluar bertemu wanita, tanpa memakai baju sedangkan dadaku bukanlah aurat...............

   Bait-bait lagu Destinasi Cinta, dimainkan oleh komputer ribaku. Fikirkanlah, di manakah rasa malu kalian? Sedangkan malu itu sebahagian dari iman. Jika tidak kamu malu kepada manusia, malulah kamu kepada Sang Pencipta yang senantiasa memerintah alam dunia fana ini.

1 comment:

opel9144 said...

ragam manusia dewasa ini kerna mereka lupa akan hakikat fitrah kejadian mereka. untuk apa mereka dijadikan dan apa janji mereka kepada tuhan. apa agama mereka? apa bangsa mereka? apa jati diri mereka? apa yang telah mereka hilang? tidak mereka temuinya selagi mereka tidak mengenali siapa mereka. memetik kata pujangga geogre santayana "those who forget history tend to repeat it." sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri pernah mengatakan yang ramainya kita umat akhir zaman ini seperti banyaknya buih2 di lautan tetapi lemah dan ditindas oleh musuh kita... kenapa? kerana kita lupa siapa kita. mahathir pun dah kata melayu mudah lupa. tanyalah siapa yang ingat sejarah asal usul bangsa kita. nescaya tak ramai yang tahu.bahasa jiwa bangsa, rosak bahasa rosaklah bangsa. tulisan rencong, jawi ramai dah lupa. apalagi susun bahasa nusa kita.jangan dihairan kalau rosak orang kita.. kerana kita lupa.lupa. lupa.sulalat salatin, siapa yang baca? tak ramai. hikayat hang tuah? bertuah nak disentuhnya.apatah lagi kertas-kertas kajian sarjana sejarawan kita. kerana kita lupa. kerana kita alpa. siapa kita. kenapa kita.