Tuesday, April 30, 2013

Pesanan Syeikh Solah Al-Budair; Imam Masjid Nabawi


Selasa; 30 April 2013

                Alhamdulillah, ALLAH telah kurniakan kepada aku masa yang sungguh bermanfaat. DIA telah takdirkan aku untuk melihat pengumuman tentang program tadi. Syeikh Solah Al-Budair, imam Masjid Nabawi datang ke Masjid Terapung Al-Hussein Kuala Perlis untuk meberikan tazkirah. Masyaallah, kata-kata yang ringkas tetapi penuh berisi. Beginilah kata-kata orang yang berilmu, lebih-lebih lagi para ulama.

                Kata-kata beliau yang disampaikan dalam bahasa Arab kedengaran sungguh indah meskipun aku tidak benar-benar memahami maksudnya. Diterjemahkan pula oleh imam Masjid Terapung Al-Hussein, Ustaz Hafiz membuatkan hatiku terkesan. Kata-kata Syeikh Solah memang memberi makna yang sangat mendalam setelah diterjemah. Allahuakbar, ringkas tetapi sangat padat.

                Aku tak dapat mencatat kesemua pesanan beliau. Hanya sebahagian sahaja yang sempat aku catatkan. Terdapat juga sebahagian yang sahabat-sahabat aku catatkan ketika aku menghantar seorang sahabat yang lain ke stesen bas. Antara pesanan beliau:

1.       Peliharalah solat 5 waktu dalam waktunya dan secara berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w;
“Barangsiapa yang memelihara solat, ALLAH akan memberi kesenangan dan cahaya di hari akhirat.”
Sesiapa yang tinggal solat berjemaah samalah seperti meninggalkan sunnah Rasulullah s.aw.
2.       Jangan putuskan silaturrahim. Sesungguhnya seorang muslim itu bersaudara kepada muslim yang lain.
3.       Peliharalah ister-isteri dan wanita-wanita kamu dengan baik.
4.       Hendaklah kasih-mengasihani sesama manusia; yang kaya mengasihani yang miskin, yang kuat mengasihani yang lemah.
5.       Barang siapa yang bersumpah, bersumpahlah dengan nama ALLAH.
6.       Janganlah memakai tangkal kerana ia perkara syirik.
7.       Jauhilah perkara-perkara sihir atau tukang tilik.
8.       Jika ingin berdakwah, berdakwahlah dengan kelembutan. Sampaikanlah ilmu dengan penuh kelembutan dan kasih sayang kerana hasil dari kelembutan itu lebih banyak dari kekerasan.
9.       2 perkara yang kalau kita pegang, tidak akan sesat selamanya; iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Ya ALLAH, jadikanlah kami orang yang kuat untuk mengikut perintah-MU.



No comments: