Sunday, August 15, 2010

KALA SUBUH

"... berseorangan. mereka semua berada jauh di hadapanku. di manakah aku sekarang ini? mengapa mereka begitu jauh sekali dari aku? aku telah cuba sedaya-upaya untuk mendekati mereka, tapi kenapa aku tidak dapat sampai kepada mereka? kenapa? kenapa? kenapa...? "
_____________________________________________________________________________ 

   Terdengar ketukan pintu bilikku. Aku masih mamai. Aku memicit punat di telefon bimbitku untuk melihat waktu. 4. 36... Pastinya yang mengetuk pintu tadi itu adalah sahabatku. Aku bingkas bangun dan bersiap untuk bersahur.

   Al-kisah, kami berdua menjamah makan yang dibeli dari kedai Pak Mat sebagai isi perut untuk menahan lapar di waktu siang nanti. Selesai bersahur, masih ada masa sementara menanti azan subuh dikumandangkan. Kami berbual...

   "Apa yang ada pada hang?" sahabatku bertanya dalam loghat utaranya.
   "Apa saja yang hang boleh nampak pada aku..." jawabku ringkas.
   "Bukan fizikal yang aku maksudkan..."
   "Habis tu?" aku bertanya pula.
   "Apa kelebihan hang?"

   Aku tidak dapat menjawab. Aku sendiri ada ketikanya menanyakan soalan ini pada diriku sendiri. Namun, sehingga kini aku msih belum menemui jawapan yang pasti. Lalu dia bercerita...

   "Aku bermimpi. Sudah tiga kali. Aku jauh ketinggalan di belakang sebuah kumpulan manusia. Hang adalah sala seorang dari mereka..."

   Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaanku. Sukar untuk diungkapkan melalui barisan ayat-ayat yang tersusu. Hanya ALLAH sahajalah yang memahamiku ketika itu.

   Azan subuh dikumandangkan dari Surau Ibnu Khuldun. Seluruh Taman Semarak ini dapat mendengarnmya. Aku terjaga dari tidurku yang hanyalah tidur-tidur ayam. Pantas berwudhuk dan menukar pakaian, kami berdua melangkah ke surau. Dingin. Sebaik menjejakkan kaki di surau, muadzin melaungkan iqamat dan solat diimamkan oleh Abang Din.

   Selesai bersolat, sahabatku itu pantas kembali ke rumah meninggalkan aku bersama penduduk awam Taman Semarak ini. Selesai bersalaman, aku mulakan langkah untuk pulang.

   "Bilal nampak sihat sekarang. Sakit dah tak ada dah?" tegur seorang lelaki. Rambutnya sudah beruban menandakan dia sudah mula melangkah ke usia tua.

   "Sekarang ni sihat ja..." aku membalas.
   "Gastrik duk ada lagi?"
   "Setakat ni belum ada. Tapi tak tahulah akan sakit lagi atau tak..."

   Perbualan kami berdua diteruskan. Dia bertanyakan perihal diri dan keluargaku. Tak banyak yang mampu aku ceritakan. Namun, sebahagian kata-katanya telah menyentuh dasar hatiku.

   "Baguslah, Bilal. Mak ayah Bilal berjaya mendidik Bilal menjadi orang yang hebat..."

   Mendengar ucapan itu membuatkan aku terkedu seketika. Aku tersedar akan satu perkara. Tetapi, aku letakkan perkara itu di tepi untuk seketika dan meneruskan perbualan kami.

   Dalam perjalanan pulang, aku kembali memikirkan kata-kata pak cik tadi.
   
   Soalan yang diajukan oelh sahabatku tadi berkait rapat dengan kata-kata pak cik tadi. Aku tersedar dari lenaku yang sebentar setelah sekian lama tidak mengaktifkan diri dalam mana-mana persatuan.

   Selama ini, aku menganggap diri aku serba kekurangan. Aku menganggap, lebih ramai lagi orang lain yang lebih berkebolehan dari aku. Namun, hari ini aku kembali sedar.

   Setiap insan mempunyai kehebatannya yang tersendiri. Tidak semua manusia itu handal dalam perkara yang sama. Aku juga begitu. Aku juga mempunyai sesuatu yang tidak ada pada orang lain. Hari ini, aku merasakan bahawa aku cuba menafikan kelebihan yang ada pada aku selama ini. Hari ini jugalah aku tersedar, bahawa kelebihan akan tetap terlakar pada diri kita dan akan tetap terlihat pada mata orang lain meskipun kita cuba menyembunyikannya.

   Aku mempunyai kelebihanku yang tersendiri. Begitu juga sahabat aku. Walaupun aku tidak memahami maksud sebenar kata-kata pak cik itu, namun aku tahu bahawa aku juga hebat sebagaimana orang lain. Begitu juga sahabatku ini. Dia juga mempunyai kelebihan yang tidak ada pada diri aku.

   Walau bagaimanapun, aku msih tidak tahu kelebihan diri aku sendiri. Selama ini aku hanya nampak kelebihan pada diri orang lain. Hari ini aku sedar, aku juga ada kelebihanku. Cuma aku sendiri tidakpasti apakah ia? Kini, aku sudah mula menerima hakikat bahawa aku adalah antara orang yang hebat.

    Ya ALLAH! Aku memohon segala yang terbaik bagi diriku. Sesungguhnya, hanya ENGKAU sahajalah yang mengetahui, segala yang terbaik bagi diriku dan ENGKAU jualah yan menentukan segala-galanya...